Saturday, November 6, 2010

STEVIA REBAUDIANA BERTONI

       Stevia ialah sejenis tumbuhan herba yang dikenali juga sebagai 'Rumput Manis' , 'Daun Manis', atau 'Rumput Bermadu'. Daun segarnya mengandungi pemanis asli sebanyak 10-15 kali ganda berbanding gula tebu biasa. Penduduk asli di tempat asal tumbuhan ini iaitu Paraguay telah menggunakannya sebagai pemanis di dalam masakan dan minuman sejak lebih 1500 tahun dahulu. Antara kegunaan lain yang telah dilaporkan oleh pakar-pakar perubatan, Stevia dengan kemanisan yang tak mengandungi kalori dapat membantu mencegah penyakit kronik seperti KENCING MANIS, dan DARAH TINGGI. Ia juga boleh digunakan sebagai pelawas dan banyak lagi. 
        Stevia atau nama saintifiknya Stevia Rebaudiana Bertoni masih belum dikenali secara meluas oleh masyarakat di negara kita walaupun telah mula diperkenalkan di Malaysia oleh pengusaha dari negara Jepun pada pertengahan tahun 70an. Sehingga kini belum terdapat bukti bahawa pemanis ini memberi kesan sampingan hasil daripada pengambilannya, malah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun meluluskan penggunaannya sejak tahun 2004 lagi. 
         Pada masa sekarang, pihak MARDI sedang giat melaksanakan penilaian baka Stevia melalui penyelidikan. Penyelidikan ini adalah untuk menilai kesesuaian tanaman Stevia di negara kita, Malaysia. Tumbuhan jenis renek dan bersifat saka jangka (3-7 tahun) boleh dijadikan pokok hiasan di dalm pasu. Pertumbuhan yang baik memerlukan medium pengakaran yang mengandungi banyak bahan organik. Tanaman juga perlu kerap disiram, tetapi air tidak dibiarkan bertakung untuk mengelakkan akarnya menjadi reput serta mudah diserang penyakit. Daun yang dituai boleh dikeringkan dan dijadikan sumber pemanis asli.

No comments:

Post a Comment